Friday, 15 November 2013

Matlamat Kerjaya

Setiap orang mempunyai kerjaya idaman. Malah sejak kanak-kanak lagi, mereka sudah pandai menyebut hendak menjadi doktor, penyanyi atau pelakon. Namun begitu, kebiasaannya seseorang itu sering bertukar cita-cita kerana dipengaruhi oleh persekitaran. Kerjaya biasanya merupakan satu kombinasi minat, kebolehan dan pengaruh suasana semasa adalah faktor utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya.

Kerjaya pilihan saya ialah pensyarah.  Bagi pendapat saya, kerjaya pensyarah adalah kerjaya yang mendapat pengiktirafan tinggi dalam masyarakat kita, memandangkan IPT itu sendiri adalah tapak bagi melahirkan individu yang mampu menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya pensyarah ini merupakan profesion yang sama dengan kerjaya guru iaitu profesion perguruan. Kita dapat lihat individu yang terlibat dalam bidang ini akan dipandang mulia oleh masyarakat dan berjasa kepada ramai orang.

Bagi mencapai sesuatu cita-cita, setiap individu perlu mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat yang jelas berfungsi sebagai penunjuk arah kepada kecemerlangan. Ia juga dapat mencetuskan motivasi dalaman individu. Matlamat yang anda ingin kecapi itu akan menjadi sebahagian dalam hidup anda dan anda tidak akan berpuas hati selagi matlamat tersebut tidak tercapai. Bagi mencapai cita-cita yang diingini tersebut, setiap individu perlu mengenetepikan perkara yang tidak penting agar matlamat yang telah ditetapkan akan tercapai.  Dalam menetapkan matlamat berkaitan akademik, kerjaya dan kehidupan sekaligus akan menghasilkan pemikiran yang betul, positif, produktif, kreatif dan inovatif.

Kerjaya juga dapat mengubah kehidupan seseorang bagi memenuhi keperluan, kehendak dan kesempurnaan hidup. Apabila kita dapat mencapai kerjaya yang diingini, itu akan menjadi satu kepuasan kepada setiap individu. Dengan diiringi doa, keazaman, usaha gigih dan disiplin yang tinggi, anda akan mencapai matlamat atau cita-cita yang anda impikan dengan cemerlang sama ada dalam masa jangka panjang atau jangka masa pendek.


No comments:

Post a Comment