Thursday, 28 November 2013

SINTOK, KEDAH

S – STRATEGI = strategi Tun Mahathir membina UUM merupakan langkah awal pembangunan di sintok walaupun mendapat tentangan hebat oleh beberapa pihak.

I – INTELEK = Di bumi sintok inilah lahirnya ramai graduan yang berintelek tinggi.

N – NYAMAN = Sintok merupakan tempat yang nyaman. Kawasan Sintok yang mempunyai lembah yang permai, dikelilingi bukit bukau, dan kehijauan Hutan Hujan Tropika yang indah dengan flora dan faunanya.

T – TRANSFORMASI = dahulu sintok merupakan kawasan yang terpencil, keadaan fizikalnya yang berbukit bukau dan kawasan yang dipenuhi hutan rimba yang luas. Dengan wujudnya kampus UUM di Sintok berlaku transformasi di kawasan Sintok yang kini kian maju.

O – OPERASI = UUM di kampus Sintok telah beroperasi setelah masalah komunis dibanteraskan sepenuhnya. Setelah UUM memulakan operasinya di Sintok sekaligus telah mempercepatkan pertumbuhan beberapa petempatan baru seperti Bandar Baru Sintok dan Bukit Kachi.


K – KAYA = Sintok kaya dengan sumber alam. Terdapat lombong bijih timah dan kayu balak yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat. Kegiatan perlombongan dan pembalakan menjadi aktiviti utama di sekitar Sintok.

Sunday, 24 November 2013

SAJAK UNTUK IBU TERSAYANG

Ibu
Kaulah sinar harapanku
Kaulah sinar kebahagianku
Yang sentiasa mendampingiku
Dalam kerutan bingkisan malamku

Ibu
Cekal hati mendidik daku,
Sabar murni melayan kerenah anakmu,
Tiada kedengaran sepatah keluhan,
Tiada kelihatan setitip kemarahan.

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Terima kasih
Ku ucapkan seadanya
Dengan kucupan ku taburkan
Tanda sayang ku kepadamu.


Saturday, 23 November 2013

PASAR MALAM CHANGLUN (PMC)

Pasar Malam Changlun yang lebih dikenali oleh penduduk setempat sebagai PMC yang merupakan di antara pasar malam yang besar yang terdapat di Changlun, Kedah. Ianya terletak di simpat empat dan sepanjang lorong di Pekan Changlun. Pasar  malam ini diadakan pada setiap hari rabu dari jam 4 petang hingga lebih kurang jam 11 malam. Lokasi PMC yang strategik menjadi tumpuan kepada masyarakat setempat untuk berkunjung untuk membeli. Pasar malam ini secara majoritinya dikunjungi oleh pelajar dari Universiti Utara Malaysia, Matrikulasi dan penduduk kampung tempatan. Kedudukan pasar malam yang strategik memberi kelebihan kepada PMC kerana terletak di laluan utama di pekan Changlun. Dengan kedudukan tapak berniaga yang strategik membolehkan masyarakat setempat berkunjung ke PMC.

Terdapat lebih 100 orang peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan, pakaian dan lain-lain barang keperluan. Apa yang menarik PMC ini ialah pelbagai juadah makanan dan minuman yang dijual di sini. Antara makanan yang menarik dijual di pasar malam Changlun Laksa Kelantan, Bihun Sup Kedah, Nasi Kerabu, pelbagai makanan bergoreng, kuih muih tradisional dan lain-lain. Walaupun berada di negeri Kedah, orang ramai boleh merasa pelbagai makanan dari pelbagai negeri. Hal ini merupakan tarikan utama Pasar Malam Changlun ini.

Disamping itu juga terdapat gerai yang menjual pakaian yang murah yang mampu menarik ramai pelanggan seperti kain batik, pelbagai baju fesyen terkini sama ada lelaki atau perempuan. Di pasar malam ini juga terdapat pelbagai gerai mudah alih, yang menjual barang-barangan seperti makanan dan hasil tani seperti seperti sayur, buah, daging dan barangan basah yang lain. Barangan lain seperti permainan, perkakasan, buku, baju dan sebagainya turut ada dijual di Pasar Malam Changlun ini. Harganya yang berpatutan menarik orang ramai datang mengunjungi . Amalan tawar menawar merupakan amalan biasa di pasar malam.


PMC membawa banyak faedah kepada masyarakat setempat. Salah satu faedah PMC kepada penduduk setempat ialah dapat menjana ekonomi penduduk setempat. Kebanyakan peniaga di PMC terdiri daripada  penduduk sekitar di kawasan Changlun. Dengan adanya  pasar malam akan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk berniaga dan dapat menambah pendapat mereka. Terdapat juga peniaga bukan daripada penduduk setempat iaitu masyarakat luar dari Changlun.

Wednesday, 20 November 2013

KOMUNIKASI SILANG BUDAYA

Komunikasi silang budaya merupakan komunikasi yang melibatkan individu daripada latar budaya yang pelbagai. Komunikasi ini  berlaku apabila kita bercakap dengan orang yang berbeza bangsa, ras, bahasa, agama, tingkat pendidikan dan status sosial. Komunikasi silang budaya ialah komunikasi dengan mereka yang berlainan etnik dan jantina dalam pelbagai konteks seperti konteks pendidikan, politik, teknologi dan lain-lain. Orang yang menghasilkan mesej dan orang yang mentafsirkan mesej terdiri daripada individu yang berlainan budaya. Identiti sosial antara pemberi komunikasi itu juga  adalah berbeza. Tahap silang budaya boleh diukur berdasarkan padangan terhadap dunia, kepercayaan dan tingkah laku, sistem kod serta tanggapan terhadap hubungan. Setiap budaya mempunyai tanggapan masing-masing mengenai apa yang betul atau salah.

Semua komunikasi ada unsur silang budaya hanya sama ada ia pada tahap yang tinggi, sederhana atau rendah. Komunikasi  sangat berbudaya ialah komunikasi pada tahap perbezaan budaya adalah sangat tinggi. Komunikasi kurang berbudaya ialah tahap perbezaan budaya yang rendah. Hal ini  bermaksud dalam kalangan masyarakat itu sendiri tidak mempunyai pelbagai kebudayaan yang terlalu banyak serta sangat kurang adat resamnya.

Antara contoh komunikasi silang budaya ialah interaksi antara pelajar Kemboja dengan pelajar Melayu dari Universiti Utara Malaysia sebagai antara bangsa, interpersonal dalam konteks pendidikan, CEO berbangsa Jepun berinteraksi dengan pengurusnya yang berbangsa Cina Malaysia tentang projek perniagaan mereka dan seorang pelancong Indoneasia berurusan dengan pegawai imigrasen di pejabat imigrasi Malaysia.



Monday, 18 November 2013

HARI RAYA AIDILADHA

Hari Raya Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah S.W.T. Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Hari Raya Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. hari tersebut akan bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah. Sambutan Hari Raya Aidiladha diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan. Pada hari raya ini, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.


Kelebihan ataupun fadilat yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam melakukan ibadah ini di antaranya ialah kita akan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah S.W.T. Kita juga diberi peluang untuk menebus dosa iaitu dengan melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat pada akhirat nanti. Bulu-bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah merupakan satu kebajikan. Kelebihan ibadah korban dari aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan pula ialah kita dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang antara satu sama lain sekaligus mengeratkan hubungan sillaturrahim. Ibadah korban ini juga membantu untuk melahirkan masyarakay yang bersikap penyayang, bersifat suka berkorban dan bersedekah.

Saturday, 16 November 2013

BAHAYA SYIAH !

Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad SAW yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golongan Syiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi SAW serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al-Khatab dan Saidina Uthman Affan. Ajaran Syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh-musuh Islam. Ia merupakan hasil dan buah daripada pokok-pokok beracun yang ditanam oleh musuh-musuh Islam di bumi Islam.

Ajaran Fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Dalam perkembangan terbaru fahaman Syiah di Malaysia. Mereka sudah berani menonjolkan diri menghentam Mufti yang diamanahkan oleh Sultan dan Raja-Raja Melayu menjaga Agama Islam dan pegangan fahaman Ahli Sunnah Wal Jemaah. Mereka melontarkan tuduhan bahawa sahabat menyembunyikan fakta-fakta penting agama dan juga menyelewengkan al-Quran. Mereka meragui kebenaran dan kesahihan ajaran Islam yang ada pada hari ini kerana ianya dibawa oleh sahabat Nabi S.A.W yang dikatakan munafik dan kafir dan sebagai alternatif mereka cuba menampilkan satu bentuk ajaran lain iaitu Syiah yang kononnya datang dari anak cucu Nabi s.a.w atau lebih dikenali sebagai Ahlul bait.

Antara fatwa palsu yang dikeluarkan oleh golongan Syiah adalah mereka tidak memandang berat terhadap sembahyang, zakat dan haji. Mereka telah menghalalkan perkahwinan mutaah. Untuk menggalakkan amalan tersebut, golongan Syiah mereka hadith-hadith palsu yang disandarkan kepada Imam dua belas mereka. Oleh itu mana-mana orang Islam atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman tersebut adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.


Friday, 15 November 2013

Matlamat Kerjaya

Setiap orang mempunyai kerjaya idaman. Malah sejak kanak-kanak lagi, mereka sudah pandai menyebut hendak menjadi doktor, penyanyi atau pelakon. Namun begitu, kebiasaannya seseorang itu sering bertukar cita-cita kerana dipengaruhi oleh persekitaran. Kerjaya biasanya merupakan satu kombinasi minat, kebolehan dan pengaruh suasana semasa adalah faktor utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya.

Kerjaya pilihan saya ialah pensyarah.  Bagi pendapat saya, kerjaya pensyarah adalah kerjaya yang mendapat pengiktirafan tinggi dalam masyarakat kita, memandangkan IPT itu sendiri adalah tapak bagi melahirkan individu yang mampu menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya pensyarah ini merupakan profesion yang sama dengan kerjaya guru iaitu profesion perguruan. Kita dapat lihat individu yang terlibat dalam bidang ini akan dipandang mulia oleh masyarakat dan berjasa kepada ramai orang.

Bagi mencapai sesuatu cita-cita, setiap individu perlu mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat yang jelas berfungsi sebagai penunjuk arah kepada kecemerlangan. Ia juga dapat mencetuskan motivasi dalaman individu. Matlamat yang anda ingin kecapi itu akan menjadi sebahagian dalam hidup anda dan anda tidak akan berpuas hati selagi matlamat tersebut tidak tercapai. Bagi mencapai cita-cita yang diingini tersebut, setiap individu perlu mengenetepikan perkara yang tidak penting agar matlamat yang telah ditetapkan akan tercapai.  Dalam menetapkan matlamat berkaitan akademik, kerjaya dan kehidupan sekaligus akan menghasilkan pemikiran yang betul, positif, produktif, kreatif dan inovatif.

Kerjaya juga dapat mengubah kehidupan seseorang bagi memenuhi keperluan, kehendak dan kesempurnaan hidup. Apabila kita dapat mencapai kerjaya yang diingini, itu akan menjadi satu kepuasan kepada setiap individu. Dengan diiringi doa, keazaman, usaha gigih dan disiplin yang tinggi, anda akan mencapai matlamat atau cita-cita yang anda impikan dengan cemerlang sama ada dalam masa jangka panjang atau jangka masa pendek.


Sunday, 10 November 2013

1Malaysia Teras Perpaduan Kaum

Tanggal 3 April 2009, Dato’ Seri Najib telah mengisytiharkan gagasan 1Malaysia kepada rakyat Malaysia dan merupakan salah satu agenda transformasi kerajaan. Gagasan 1Malaysia ini merupakan usaha dan perjuangan untuk mendapatkan perpaduan kaum di Malaysia. Gagasan ini lebih memfokuskan untuk memajukan dan memakmurkan negara.

Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata “Apabila kita bersatu, bangsa jadi mulia dan apabila kita berkhidmat, nescaya direstui umat”. Dengan adanya gagasan 1Malaysia ini, harapan rakyat akan bersatu padu dan harmoni serta saling bahu-membahu dengan kerajaan. Gagasan ini memastikan bahawa kerajaan akan membela hak semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, kaum India, kaum Cina dan kaum-kaum lain sekaligus  menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan rakyat. Hal ini akan menjadi pemangkin kepada perwujudan negara bangsa untuk membina semangat kekitaan dan mencari persamaan dalam kalangan rakyat.

Perpaduan hanya boleh dicapai seandainya seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia ini. Dengan wujudnya gagasan 1Malaysia ini, semua rakyat Malaysia akan bersama-sama berganding bahu dan berpimpin tangan menuju ke arah negara yang maju dan bersatu padu.


Friday, 8 November 2013

Pendidikan Tunjang Pembangunan Negara

Falsafah pendidikan negara yang memfokuskan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Hal ini bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan pembangunan negara.

Berdasarkan penyelidikan dan penilaian yang mendalam dan menyeluruh terhadap sistem pendidikan semasa di Malaysia, Kerajaan telah menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang berhasrat agar rakyat Malaysia  dapat meneroka dan merintis peluang yang lebih meluas ke arah menghasilkan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing. Pendidikan sememangnya memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Dalam situasi ekonomi global masa ini, kejayaan sesebuah negara bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh rakyatnya sekaligus dapat menjana ekonomi dengan pesat demi kemakmuran negara. Hal ini akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat sekaligus menjadikan masyarakat yang bergiat aktif dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pembangunan negara.


Apabila kerajaan ingin mentransformasikan pendidikan negara secara automatiknya kerajaan  ingin transformasikan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju dalam pelbagai aspek. Pelan pendidikan yang telah digubal bukan sahaja mentransformasikan rakyat ke arah lebih baik, tetapi ia juga bertujuan memupuk semangat perpaduan rakyat sekaligus dapat memajukan negara dan menaikkan taraf negara Malaysia ke arah global. Oleh itu, pendidikan sememangnya merupakan tunjang kepada pembangunan negara.